Pusat Ekonomi Digital(PEDi) Bantu Promosi Produk Kampung Dan Pendalaman Ke Pasaran Lebih Meluas

MARANG, 14 JAN: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) merupakan antara platform berkesan untuk mempromosikan produk-produk istimewa yang diusahakan oleh penduduk kampung khususnya di kawasan pedalaman. Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata melalui PEDi sesiapa sahaja yang berminat boleh mempromosikan produk mereka secara dalam talian yang dapat menjangkau pasaran yang lebih luas. “PEDi boleh membantu mendidik dan mengajar orang-orang kampung tentang kemahiran asas komputer… Ia juga dapat membantu orang kampung tentang e-dagang. “Pusat ini membantu sesiapa sahaja yang minat berniaga dalam talian. Ada kelas latihan untuk ajar mereka bagaimana nak promosi produk mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PEDi Kampung Sentul Patah di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan hala tuju dan hasrat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam mempromosikan ekonomi digital supaya lebih ramai pengusaha terlibat dengan perniagaan dalam talian. Teo berkata terdapat 911 PEDi yang beroperasi di seluruh negara setakat ini, dan lawatan beliau hari ini merupakan yang pertama ke pusat itu untuk lebih memahami tentang fungsi dan peranan PEDi dalam komuniti setempat. “Saya rasa sangat gembira kerana PEDi dapat membantu orang-orang kampung… MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan mengkaji untuk menambah aktiviti di PEDi yang aktif,” katanya. Sementara itu katanya di Terengganu terdapat empat PEDi yang terjejas akibat banjir dan pihak MCMC dalam usaha untuk membersihkan serta membaiki pusat berkenaan agar dapat beroperasi semula dalam masa terdekat. – BERNAMA

Kembali Ke Atas