Pelancaran Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Pada 21 November 2021
Pelancaran Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob bertempat di Bandar Bera, Pahang pada 21 November 2021 (Ahad). Ekonomi digital merupakan instrumen penting untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia. PEDi merupakan pusat yang dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan serta pelbagai program keusahawanan yang diperlukan oleh komuniti setempat agar mesra terhadap ekonomi digital.
Bagi mencapai hasrat tersebut, sebanyak 1,083 PEDi di seluruh negara akan dipertingkat dan dipergiatkan untuk melahirkan serta memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing, terutamanya masyarakat luar bandar. Kerajaan yakin usaha ini bukan sahaja akan merapatkan jurang digital tetapi juga akan mencetuskan inovasi digital. Ini juga selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang didorong oleh digital dan pemimpin serantau dalam ekonomi digital.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato' Sri Mustapa bin Mohamed; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; dan Ketua Setiausaha KKMM, Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek.