Aplikasi TheLorry adalah merupakan platform logistik terkemuka di Asia Tenggara yang memperkasakan teknologi dalam urusan servis penghantaran. TheLorry dapat menghubungkan syarikat korporat dan individu kepada pemandu profesional atau mereka yang menguruskan pemindahan barangan rumah. Bagi memenuhi permintaan komuniti setempat yang memerlukan khidmat servis penghantaran dan pemindahan barangan, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) PPR Kampung Muhibbah telah mengadakan sesi tutorial yang memfokuskan kepada penggunaan aplikasi logistik iaitu TheLorry di mana menawarkan perkhidmatan pemindahan dirancang berdasarkan jadual menerusi tempahan lori sewa secara dalam talian.
Sesi tutorial dimulakan dengan tatacara pembukaan akaun baharu di platform TheLorry sama ada melalui aplikasi atau boleh diakses dengan melayari pautan https://www.thelorry.com. Kakitangan PEDi memberi tunjuk ajar kepada komuniti yang mengikuti tutorial ini dalam proses melengkapkan maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon untuk pengesahan akaun dan emel bagi urusan pendaftaran sebagai pengguna akaun TheLorry. Setelah akaun berjaya didaftarkan, pengguna dapat menggunakan aplikasi untuk membuat tempahan lori sewa mengikut pilihan jenis kenderaan atau saiz lori yang disediakan di platform tersebut. Antara saiz kenderaan dan lori yang ditawarkan adalah seperti kenderaan pikap 4×4, van, kereta sedan, lori dengan muatan 1 tan hingga 8 tan termasuk khidmat penghantaran bermotosikal.
Sementara itu, pengguna yang melakukan tempahan lori di platform ini juga boleh menetapkan pilihan waktu dan destinasi untuk menguruskan operasi penghantaran dan pemindahan barangan. Lazimnya, tempahan berjadual yang dibuat hanya mengambil masa kurang daripada dua jam untuk lori sewa tiba ke destinasi pertama bagi urusan pengambilan barangan. Kaedah pembayaran yang digunakan di platform The Lorry juga mudah sama ada menerusi transaksi perbankan internet, e-dompet mahupun pembayaran secara tunai semasa penghantaran.
Bukan itu sahaja, platform yang diwujudkan ini juga memudahkan urusan seharian pengguna apabila dapat merancang awal dan membuat anggaran bajet yang diperlukan untuk menanggung kos operasi perniagaan melibatkan penghantaran atau pemindahan barangan terutama bagi golongan yang menjalankan perniagaan atas talian atau individu mahupun syarikat yang membuat belian barangan pukal dan memerlukan tempahan pengangkutan dan logistik. Akhirulkalam, komuniti yang mengikuti tutorial kali ini juga dapat mencari jalan penyelesaian bagi menguruskan operasi pemindahan barangan perniagaan ke kedai baharu beliau di samping memanfaatkan penggunaan teknologi digital.