Taman Rekreasi Sungai Tekala

Berada di Taman Rekreasi Sungai Tekala ini pasti akan mampu membuatkan tersenyum riang dan melupakan tekanan yang dihadapi samada tekanan kerja mahupun belajar. Taman Rekreasi Sungai Tekala ini yang dibuka bermula 7 pagi dan ditutup pada 7 petang jauh daripada hiruk-pikuk kota dan alam semulajadinya kekal terpelihara. Pengunjung juga akan disajikan dengan pemandangan telatah-telatah haiwan yang menarik seperti monyet-monyet yang sentiasa berkejaran, burung-burung yang berkicauan, dan ikan-ikan kecil yang ibarat jinak-jinak merpati.

Sungai yang sentiasa mengalir tenang membuatkan Taman Rekreasi Sungai Tekala ini begitu sesuai dikunjungi bersama keluarga mahupun rakan taulan untuk merapatkan silaturahim dan menghilangkan bosan di hujung minggu. Oleh kerana air sungainya juga tidak terlalu dalam serta laluan treknya yang agak mudah, golongan ibu-bapa tidak perlu untuk terlalu bimbang akan anak-anak kecil mereka ketika beriadah. Fasiliti yang disediakan juga seperti surau dan tandas yang bersih serta selesa juga sudah pasti akan memudahkan para pengunjung. Para pengunjung juga boleh menikmati juadah enak yang dijual di sekitar perkarangan masuk ke Taman Rekreasi Sungai Tekala ini.

Namun, bukan hanya aktiviti air sahaja yang ditawarkan oleh Taman Rekreasi Sungai Tekala ini, malah aktiviti berkhemah juga sesuai dilakukan oleh para pengunjung yang meminati dan menginginkan aktiviti lasak kerana tempat ini juga menawarkan trek hutan hujan tanah rendah yang panjang serta mencabar. Pada masa yang sama, peminat bidang fotografi juga harus tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan keindahan flora dan fauna di dalam koleksi gambar kesayangan mereka.

Dengan hanya bayaran masuk RM1.00 sahaja, para pengunjung pasti akan merasakan lebih daripada berbaloi dengan pengalaman yang begitu berharga diperoleh mereka. Kepada pembaca yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan Taman Rekreasi Sungai Tekala ini dengan lebih lanjut, mereka boleh berhubung dengan pihak Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor, Selangor bahagian Hutan Lipur Sungai Tekala. Mereka boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-691-6131 dan secara Fax di 03-691-7533.