Taman Ular Dan Reptilia

Terletak tidak jauh dari PEDi Pokok Jawi, iaitu kira-kira dua kilometer terdapat sebuah Taman Ular dan Reptilia. Taman Ular ini pada mulanya merupakan sebuah institut penyelidikan untuk mengkaji pengeluaran pencegah antivenom pada 1978.

Kawasan ini dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Bintang. Ia beralih tangan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis dan dijadikan sebagai destinasi pelancongan pada tahun 1995. Taman Ular dan Reptilia ini dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada tanggal 3 Mei 1981.

Taman Ular dan Reptilia ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records kerana ia merupakan taman ular terbesar seumpamanya di Malaysia. Ia mempunyai 54 spesies ular dari dalam dan luar negara. Jumlah ular yang terdapat di sini ialah sebanyak 280 ekor.

Selain daripada ular, terdapat juga haiwan-haiwan lain seperti memerang, biawak dan kura-kura. Untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara, terdapat pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh Taman Ular dan Reptilia ini seperti sesi bergambar dengan ular dan juga perkhidmatan kereta api dari Taman Ular dan Reptilia hingga ke Bukit Ayer.