Hutan Lipur Bukit Ayer

Bukit Ayer terletak di Sungai Batu Pahat, Perlis. Bersesuaian dengan kesegaran persekitaran dan kesuburan tumbuhan hijau serta kedinginan air terjun, Bukit Ayer lengkap untuk dijadikan tarikan kepada sesiapa yang sememangnya cintakan alam semulajadi. Ia merupakan tempat yang paling baik untuk pengunjung sekeluarga menjalankan aktiviti perkemahan serta berkelah di sini.

Disamping itu juga terdapat kemudahan awam disediakan bagi memudahkan pengunjung yang berkunjung ke sini. Hutan Lipur Bukit Ayer terletak 12 km dari Bandar Kangar. Beberapa kemudahan disediakan untuk seperti pusat penerangan, chalet, tapak perkemahan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan tempat letak kereta.

Air terjun dan sungai yang mengalir jernih secara semulajadi mengindahkan suasana. Pada bahagian hilirnya pula terdapat sebuah kolam mandi yang cantik untuk para pengunjung. Di sini juga dikhaskan tapak perkhemahan yang menampung kira-kira 100 orang peserta dilengkapi dengan tempat memasak dan sumber air yang bersih.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak terdapat denai yang boleh digunakan bagi tujuan tersebut. Disini juga terdapat tempat permainan kanak-kanak, gerai makanan, bilik air, surau dan pondok-pondok rehat.