Kelantan-TamanNegara-B2

Taman Negara Kuala Koh

Taman Negara terletak di tiga buah sempadan yang melibatkan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu. Taman Negara Kuala Koh terletak di sempadan negeri Kelantan dan berada dalam Jajahan Gua Musang. Ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Hantu dan Hutan Simpan Lebir. Dari aspek perhubungan, Taman Negara Kuala Koh terletak 96 kilometer dari bandar Gua Musang dan ia mudah dihubungi oleh pengunjung dan pelancong melalui jalan raya khususnya Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Aset semulajadi yang dimiliki oleh Taman Negara Kuala Koh khususnya kepelbagaian kehidupan flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropika amat sesuai bagi aktiviti ekopelancongan selain bagi tujuan penyelidekan dan pembangunan (R & D).

Antara aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ialah pemerhatian burung (melebihi 300 spesies),memancing di rangkaian sungai, sesi fotografi, meredah hutan melalui rentis interpretif, berkayak/berakit, menaiki titian kanopi dan perkhemahan.