Bertempat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Pandan, satu Kursus Pengenalan Halal dan Tatacara Permohonan Halal telah diadakan. Kursus yang telah dijalankan pada 19 Mac 2023 ini merupakan satu usahasama dengan NZ Bunga Venture.
Kursus ini menyasarkan para usahawan dalam bidang penyediaan makanan. Kursus tersebut diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan bimbingan kepada usahawan tentang pengenalan halal, tatacara yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan halal dan tentang tatacara membuat permohonan Halal.
Kursus berlangsung selama dua jam setengah bermula dari pukul 2.30 petang ini disertai oleh 8 orang usahawan setempat. Para usahawan telah didedahkan tentang pengenalan Halal, undang-undang berkaitan Halal dan peranan pihak berkuasa yang berwibawa dalam perakuan Halal iaitu JAKIM dan JAIS.
Pengajar turut mengetengahkan tentang ciri-ciri yang terdapat pada logo Halal palsu dan turut menyatakan kelebihan mendapatkan sijil Halal yang tulen. Selain itu, para usahawan turut dibimbing mengenai tatacara untuk membuat permohonan sijil Halal oleh pengajar. Kursus tersebut tamat pada pukul 5.00 petang.
Maklumat lanjut, sila layari http://kgpandan.pimaxis.my/aktiviti/2023/22Mac23_190323.html