Faktanya, nama khas untuknya adalah Jambatan Guillermard yang diambil sempena nama Gabenor British (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu) pada masa, iaitu Sir Laurence Guillemard.
Jambatan ini merupakan sebuah jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia dan kebanyakan strukturnya dibina dengan menggunakan besi. Ianya merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kusial, Tanah Merah.
Dibina pada tahun 1920 dan siap pada Julai 1924, dengan tujuan untuk laluan keretapi dan kenderaan-kenderaan lain. KDYMM Al-Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV telah merasmikan jambatan ini pada 1925. Kini, ianya hanya dilalui oleh keretapi kerana satu jambatan baru telah dibina bagi menghubungkan Tanah Merah dengan Machang yang telah siap dibina pada 1 Februari 1988.Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Works, England adalah kontraktor utama untuk pembinaan jambatan ini. Panjang jambatan ini adalah 609.6 meter.
Walau bagaimanapun, pada 12 Disember 1941 jambatan keretapi “Guillemard” ini telah musnah setelah diletupkan oleh tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai. Selepas tamat Perang Dunia II, jambatan keretapi ini telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada lalulintas pada 7 September 1948. Pembukaan semula jambatan ini telah dirasmikan oleh Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 7 September 1948.