Pada 25 Januari 2023, Rabu yang lalu PEDi Lawang telah bekerjasama dengan PEDi Repek, PEDi Kg. Karangan dan PEDi Kajang Sebidang dalam satu sesi perkongsian live di Facebook selama satu (1) jam bermula jam 04.00 pm hingga 05.00 pm untuk berkongsi mengenai Pembentangan Audio Visual menggunakan aplikasi Canva.
Canva merupakan platform reka bentuk grafik, digunakan untuk membuat grafik media sosial, persembahan, poster, dokumen dan kandungan visual lain. Aplikasi ini merangkumi templat untuk digunakan oleh pengguna. Perisian persembahan percuma Canva memberi capaian kepada ratusan susun atur yang direka bentuk dengan cantik untuk mencipta persembahan tentang sebarang topik. Pembentangan Audiovisual merupakan satu pilihan menarik yang terdapat dalam Canva.
Staf PEDi menerangkan langkah demi langkah cara-cara untuk membuat pembentangan menggunakan canva. Langkah pertama, pengguna perlu mendaftar akaun canva terlebih dahulu sebelum menggunakan perisian canva ini. Pengguna perlu “log masuk” atau daftar diri akaun baru menggunakan e-mel, Google atau profil Facebook. Selepas mendaftar masuk, pengguna dibawa ke laman utama canva yang memaparkan pelbagai jenis templat pembentangan Canva dalam pelbagai gaya dan tema tidak kiralah untuk pembentangan berbentuk ilmiah (pendidikan) atau perniagaan, animasi, grafik dan sebagainya. Seterusnya pengguna perlu memuatnaik foto, logo sendiri dalam elemen penjenamaan lain. Tambahkan slaid – animasi, grafik dengan lebih kreatif. Langkah yang seterusnya pergi ke studio rakaman akses pilihan “Bentangkan dan rakam” di bahagian kanan atas editor atau klik pada menu tiga titik. Pilih “Pergi ke studio rakaman”dan sediakan kamera dan mikrofon anda. Langkah yang terakhir muat turun dan kongsi. Klik pada “Tamatkan rakaman” dan tunggu sehingga ia dimuatnaik. Kongsikan pembentangan dalam bentuk MP4.
Staf juga menerangkan kelebihan menggunakan canva iaitu templat canva yang menarik, mudah digunakan, mesra pengguna, variasi grafik dan animasi yang pelbagai dan menarik, pelbagai elemen untuk diterokai, senang dikongsi dan dimuat turun.
Kami di PEDi menyediakan kemudahan internet agar dapat membantu para pengguna mendapatkan informasi terkini terutamanya berkaitan pendidikan. Justeru itu, pihak kami sangat berharap agar perkongsian kali ini dapat memberi manfaat yang berguna kepada pengguna.