Pada 16 September 2022, PEDi Kg. Karangan telah menjayakan program taklimat keselamatan dan latihan mencegah kebakaran (Fire Drill) bersama Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Daerah Kuala Krai bertempat di PEDi Chuchuh Puteri.
Program ini adalah dengan kerjasama daripada PEDi Manek Urai dan PEDi Chuchuh Puteri. Program bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 petang dengan penyertaan staff dan RD PEDi masing-masing dan kehadiran penduduk kampung Chuchuh Puteri.
Tujuan demonstrasi kebakaran ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat setempat tentang tindakan yang perlu diambil jika terjadi sesuatu kebakaran samada di rumah mahupun di luar rumah. Selain itu, pihak bomba juga memberikan tip dan kaedah yang wajar diambil untuk mengelakkan sebarang kebakaran daripada berlaku.
Secara tidak langsung, program ini juga dapat menjalinkan hubungan yang erat antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan pencegahan kebakaran bersama-sama penduduk setempat.
Antara aktiviti yang dijalankan pada program ini adalah demonstrasi cara-cara menggunakan alat pemadam api dan memadam kebakaran serta cara memedamkan kebakaran yang berpunca daripada dapur gas. Penonton juga diberi peluang untuk menyertai demonstrasi tersebut dengan memadam sendiri api kebakaran yang dimarakkan oleh pihak bomba.
Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang hadir dan dapat dijalankan dengan lebih jaya pada masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir dan memberi kerjasama sepanjang program berlangsung.